SELANGOR FC
BERITA

Umarbek Eshmurodov #isRed

Feb 02, 2024 - FAS

Pemain pertahanan kebangsaan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Karier profesional pemain berasal dari Koson, Uzbekistan ini bermula sejak usianya 21 tahun bersama FC Shurtan Guzar. Beliau telah berkhidmat bersama pasukan tersebut selama empat musim iaitu pada tahun 2013, 2015, 2016 dan 2017 dengan membuat sebanyak 83 penampilan serta empat jaringan gol.

‘Stopper’ berketinggian 185cm ini telah mendapat tumpuan antara kelab ternama di Uzbekistan iaitu FC Nasaf Qarshi. Umar telah bersama kelab ini sejak dari Julai 2017 sehingga 2023, menjadikan FC Nasaf Qarshi sebagai kelab paling lama beliau menabur bakti. Sehubungan dengan itu, beliau berjaya merekodkan 218 perlawanan dalam divisyen satu Liga Uzbekistan dan di pentas antarabangsa bersama kelab ini. 

Disebabkan beliau memiliki ciri kepimpinan yang baik, beliau telah dilantik sebagai ketua pasukan dan antara pencapaian terbaik beliau bersama skuad FC Nasaf Qarshi adalah kejayaan menjulang Uzbek Cup untuk tiga tahun beturut-turut iaitu pada musim 2021, 2022 dan 2023 serta Uzbek Supercup untuk musim 2022/2023. Manakala, di pentas asia pula, FC Nasaf Qarshi telah menjadi finalis AFC Cup 2021 di mana pasukan beliau meraih tempat kedua dalam kejohanan tersebut.

Di samping itu, pada tahun 2020, Umar telah mendapat panggilan negara buat kali pertama bersama skuad senior Uzbekistan. Persembahan cemerlangnya bersama FC Nasaf Qarshi telah membuka jalan kepada penampilan sulung beliau bersama skuad negaranya atau dikenali sebagai White Wolves Turanians semasa perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Belarus. 

Selangor FC menjadi kelab pertama beliau akan beraksi di luar dari negara kelahirannya. Umar berharap dengan pengalaman yang dimiliki beliau akan membantu pasukan untuk mencapai sasaran musim 2024/2025.

“Secara jujurnya, saya menyimpan hasrat untuk beraksi bersama kelab di luar negara sejak dari dulu lagi. Selangor FC merupakan kelab pertama saya memilih untuk melebarkan sayap dalam karier bola sepak setelah 12 tahun beraksi di Uzbekistan dan saya yakin dengan keputusan ini.

“Saya berharap pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, baik untuk kelab mahupun untuk pasukan kebangsaan, Uzbekistan akan membantu saya membawa Selangor FC mencapai kejayaan untuk musim ini.”

Pengalaman dan sikap kepimpinan yang ada pada Umar Eshmurodov telah menarik minat pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe.

“Saya pasti dengan pengalamannya bermain di Piala Asia dan Liga Juara-Juara akan menguatkan lagi barisan pertahanan kerana musim lalu kita menghadapi kesukaran di bahagian tersebut. Adanya beliau bersama Selangor FC akan membantu menaikkan keyakinan pasukan untuk beraksi dalam ACL 2. Umar juga merupakan salah seorang kapten untuk kelab terdahulunya dan pasukan kebangsaan Uzbekistan, saya berharap sikap kepemimpinan beliau akan membantu pasukan terutamanya pemain muda untuk beraksi dengan lebih matang bagi musim ini.” 

Sebelum menamatkan temu bual, Umar menyatakan beliau akan cuba untuk tidak mengecewakan penyokong Gergasi Merah dan beliau berharap sokongan yang diberikan akan berterusan tidak kira jatuh bangun pasukan bagi mencapai kejayaan bersama. 

Beliau kini sedang beraksi di Qatar untuk kejohanan Piala Asia 2023 di mana Uzbekistan telah dijadualkan bertemu tuan rumah, Qatar pada 3 Februari untuk pusingan Suku Akhir setelah menewaskan Thailand di pusingan 16 baru-baru ini dengan keputusan 2-1. 

Selangor FC berharap beliau dapat mengukuhkan barisan jentera pertahanan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Umar!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!